top of page
nabalunews

MOF gariskan tiga keutamaan jangka pendek dalam Belanjawan 2025


30 Julai 2024


KUALA LUMPUR : Kementerian Kewangan (MOF) menggariskan tiga keutamaan jangka pendek di bawah Belanjawan 2025 bagi merealisasikan kerangka Ekonomi Madani.


Dalam Kenyataan Prabelanjawan (KPB) bagi Belanjawan 2025 hari ini, katanya, tiga keutamaan itu adalah menaikkan siling dari segi menstrukur semula ekonomi supaya lebih bernilai dan berdaya saing tinggi; menaikkan lantai dengan menambah baik mutu kehidupan rakyat dan keterangkuman peluang; dan memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam.


"KPB juga menetapkan tema Ekonomi Madani: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera sebagai panduan kepada proses konsultasi bagi Belanjawan 2025,” katanya.


Kementerian berkata, selari dengan prinsip Madani, kerajaan komited untuk memastikan proses penggubalan Belanjawan 2025 adalah holistik dan terangkum dengan mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan sama menekankan komitmen MOF untuk terus memberi keutamaan terhadap reformasi fiskal dalam belanjawan itu, selari dengan sasaran jangka sederhana yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.


"Pada masa sama, MOF juga akan memastikan dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang diterajui oleh sektor swasta,” kata beliau.


Menurut kenyataan itu, ekonomi negara telah melalui peningkatan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, daripada 2.9 peratus pada suku keempat 2023 kepada 4.2 peratus pada suku pertama 2024, dan diunjurkan meningkat pada 5.8 peratus pada suku kedua 2024.


"Antara faktor yang menggalakkan pertumbuhan ini termasuk pemulihan eksport yang mengembang sebanyak 5.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding penguncupan 8.1 peratus pada 2023.


"Pertumbuhan pelaburan swasta pula mengukuh kepada 9.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 4.6 peratus pada 2023,” kata MOF.


Sementara itu, kementerian berkata, penerbitan KPB menepati amalan terbaik di peringkat global supaya dapat menggalakkan perbincangan awam mengenai belanjawan negara.


Sehubungan itu, katanya, KPB diterbitkan untuk menzahirkan keutamaan kerajaan dalam Belanjawan 2025 kepada pihak berkepentingan, sebagai panduan bagi mengemukakan maklum balas dan cadangan untuk menggubal belanjawan negara.


Katanya, proses penggubalan belanjawan negara telah bermula pada 9 Julai lepas dengan Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.


"Lebih 400 peserta mewakili agensi kerajaan, sektor swasta, ahli ilmuan, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil telah hadir pada sesi libat urus itu. Ia akan disusuli dengan sesi libat urus di seluruh negara dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.


MOF berkata, pada masa sama, orang ramai boleh menghantar komen, maklum balas dan cadangan ke Portal Belanjawan 2025 di https://belanjawan.mof.gov.my

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.

Comments


bottom of page