MOF, KKM tubuh jawatankuasa bersama tangani kos penjagaan kesihatan swasta
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

25 Jun 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dalam usaha meneruskan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan, bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.
JBMKKS yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, melibatkan keanggotaan yang terdiri daripada wakil MOF, KKM, dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam satu kenyataan bersama, MOF dan KKM berkata, jawatankuasa berkenaan akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka serta melaksanakan langkah secara kolaboratif, sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).
“Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan yang memberikan input dan nasihat teknikal.
“Majlis ini dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, profesional kesihatan, penyedia insurans dan pengendali Takaful, kumpulan advokasi pengguna, serta pihak akademik,” menurut kenyataan itu, semalam.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, peningkatan kos penjagaan kesihatan menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia dan Kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif untuk menangani isu berkenaan.
"Jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kita untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai.
"Pada asasnya, ini adalah tentang melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan mengukuhkan daya tahan negara kita," katanya.
JBMKKS dibina atas usaha yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) oleh BNM, langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan pada tahun 2024 hingga 2026, serta kerangka RESET.
RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif serta menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.
Ia telah mendapat sokongan yang meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri yang utama sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.
MOF dan KKM berkata, jawatankuasa ini akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah RESET.
"Kerja-kerja ke atas inisiatif ini telah bermula, khususnya dalam pembangunan produk asas MHIT yang mengimbangi kemampuan dan kemampanan, pembangunan sistem pembayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) untuk pelaksanaan secara berfasa serta peningkatan ketelusan maklumat harga.
"Bagi pemegang polisi insurans perubatan sedia ada, langkah ini bertujuan untuk memastikan ketelusan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama, menawarkan pilihan yang lebih mampu milik.
"Sepanjang tempoh jawatankuasa ini berkuatkuasa, langkah untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik akan diteruskan.
“Ia termasuk memperkukuh peranan penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan penyedia penjagaan kesihatan, berasaskan langkah-langkah yang telah diumumkan sebelum ini seperti inisiatif Rakan KKM," katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, kerangka RESET yang dibangunkan secara bersama itu turut merangkumi usaha KKM yang sedang dan akan dilaksanakan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk semua.
"Kerangka ini turut mencerminkan komitmen secara menyeluruh untuk melaksanakan penyelesaian seperti penjagaan berasaskan nilai, yang mengutamakan hasil kesihatan melalui pelaksanaan berfasa DRG serta peluasan pilihan penjagaan kesihatan dengan harga yang berpatutan untuk rakyat.
"Inisiatif sebegini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat Malaysia melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di hospital dan klinik awam," katanya.
Comments