“Momogong” amalan Orang Asal wajar dipulihara: Adrian“Momogong” amalan Orang Asal wajar dipulihara: Adrian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

“Momogong” amalan Orang Asal wajar dipulihara: Adrian


Adrian Lasimbang

10 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Masyarakat orang asal kaya dengan keunikan budaya dan adat istiadat yang perlu dipulihara agar tidak hilang ditelan zaman.


Antaranya adat istiadat “momogong” atau menghalang orang luar memasuki sesebuah kampung yang diamalkan penduduk Orang Asal di Penampang suatu ketika dahulu.

Amalan “momogong” lebih kurang sama maksud dengan “managal” iaitu menghalang memasuki sesuatu kawasan dan sekiranya ada orang yang melanggar undang-undang itu mereka boleh dikenakan denda atau “sogit”.


Presiden Tompinai Ningkokoton Koburuon Kampung (Tonibung) Adrian Lasimbang berkata, pengetahuan nenek moyang Orang Asal itu perlu dipelajari atau diwarisi oleh generasi muda masa kini sebagai salah satu inisiatif untuk membendung wabak Covid-19.


“Sebenarnya, Orang Asal pernah berdepan dengan pandemik sebelum ini dan mereka menggunakan “momogong” untuk mencegah penyakit daripada berjangkit.


“Dengan adanya pengetahuan ini, ia membolehkan kebanyakan masyarakat kita mengawal kemasukan dan juga penularan virus ini di kalangan komuniti,” katanya ketika dihubungi Nabalu News sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia, kelmarin.


Adrian berkata, selain “momogong” banyak lagi pencegahan yang diamalkan oleh Orang Asal pada zaman dahulu.


“Pengetahuan tradisi itu sangat penting dan harus dipulihara serta diiktiraf sebagai salah satu strategi kita dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.


”Momogong” atau “moningolig” dalam bahasa Dusun bermaksud memagar sesuatu kawasan supaya tidak dimasuki orang luar atau penyakit.


Mengenai Webinar sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang disiarkan secara lansung menerusi Zoom dan Facebook UPKO Malaysia pada Isnin, Adrian berkata, antara topik yang dibincangkan ialah bagaimana kesan pandemik ini kepada komuniti khasnya dari segi daya tahan masyarakat.


Adrian berkata, selain mempunyai strategi sendiri untuk mencegah penularan penyakit, orang asal juga bertuah kerana mempunyai tanam-tanaman untuk kelangsungan hidup mereka.


“Jaminan keselamatan makanan juga amat penting dalam keadaan pandemik bagi memastikan masyarakat mempunyai makanan yang mencukupi.


“Walaupun pandemik ini menghadkan pergerakan masyarakat keluar membeli keperluan makanan di pekan namun masyarakat orang asal sangat bertuah kerana mereka masih mempunyai tanam-tanaman untuk kelangsungan hidup mereka.


“Sekurang-kurangnya mereka tidak akan mati kebuluran kerana masih boleh mendapatkan makanan daripada tanam-tanaman berbanding masyarakat yang tinggal di bandar,” katanya.


Adrian berkata, pertanian sara diri yang diamalkan masyarakat orang asal masih mampu memberikan daya tahan kepada masyarakat itu sendiri.


“Oleh itu, saya berpendapat, bukan sahaja model pembangunan ekonomi harus dilihat dengan lebih meluas tetapi kerajaan harus melihat kepada jaminan makanan.


“Kerajaan harus mengiktiraf pertanian sara diri yang diamalkan masyarakat orang asal dengan memberikan pelbagai bantuan kepada para petani, selain memberi tumpuan kepada pertanian secara komersil (pasaran),” katanya.


Dari segi pendidikan pula, orang asal perlu diberikan lebih banyak bantuan kerana masih ramai masyarakat itu kurang berkemampuan atau menghadapi masalah dalam pembelajaran online.


“Masih ada pelajar yang tercicir terutamanya mereka yang tinggal di kampung dan tidak mempunyai capaian internet yang baik. Malah ada juga keluarga yang tidak mampu membeli peranti elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba untuk kegunaan pembelajaran anak-anak mereka.


“Selain itu, ada di antara mereka mempunyai ramai anak. Jadi sudah tentu mereka memerlukan lebih daripada satu alat peranti elektronik untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.


Beliau berharap pandemik Covid berlalu dengan cepat dan fasa pemulihan ini dapat membolehkan masyarakat kembali kepada kehidupan normal.

bottom of page