Monsun Barat Daya bermula 10 Mei hingga September
- nabalunews
- May 7
- 1 min read

7 Mei 2025
KOTA KINABALU: Monsun Barat Daya dijangka bermula 10 Mei ini dan berterusan sehingga September depan susulan keadaan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang musim berkenaan, kadar kelembapan udara lazimnya rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
Sehubungan itu katanya, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line).
“Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hisham berkata, ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Justeru itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengelak dari sebarang pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu serta menggunakan air secara berhemah sepanjang musim berkenaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan berkenaan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Commentaires