Motif Pembunuhan: Cemburu dan Tuntutan Wang Pertunangan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

13 Februari 2026
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan punca insiden penemuan mayat wanita dibunuh sebelum dikerat beberapa bahagian berpunca daripada perselisihan faham dan tuntutan wang pertunangan.
Susulan itu, dua suspek utama melibatkan seorang bapa dan anak lelakinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat dikerat di Indah Permai, semalam.
Kejayaan tangkapan kurang dari tempoh 24 jam itu hasil siasatan polis yang dijalankan di kawasan Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, di sini sejurus penemuan mayat mangsa.

Difahamkan, hasil maklumat saksi, mangsa dikatakan pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama berusia 71 tahun berjaya ditahan kira-kira 4.30 petang.
Katanya, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama D7 dan D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.
“Susulan tangkapan itu, suspek kedua berusia 19 tahun ditahan pada jam 10.30 malam, di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar, di sini, selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.
Menurutnya, polis turut berjaya merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sehubungan itu, Syed Lot berkata, pihak polis memandang serius kes berkenaan dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran,”’katanya.


















Comments