top of page
  • Wartawan Nabalu News

MoU Kerajaan dan PH petanda positif untuk pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia



14 September 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menyambut baik persefahaman antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.


Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini merupakan detik bersejarah bagi negara, di mana persengketaan politik diketepikan demi kesejahteraan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19.


Beliau yakin kestabilan politik juga akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara.


“Dipadankan dengan faktor-faktor kelonggaran mobiliti bagi rakyat yang telah lengkap divaksinasi, serta pembukaan banyak lagi sektor-sektor ekonomi termasuk pelancongan berkonsepkan gelembung perjalanan (travel bubble), persefahaman ini bakal menzahirkan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada Suku Keempat 2021 dan seterusnya bagi tahun 2022.


“Secara keseluruhannya, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 16.1% bagi suku kedua 2024.


“MOF yakin bahawa persefahaman politik yang baru dimeterai semalam akan terus mendokong asas pemulihan ekonomi dan unjuran pertumbuhan KDNK 3.0% hingga 4.0% bagi tahun 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Tengku Zafrul berkata, kerajaan dan MOF mengulangi komitmen bahawa rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan akan disokong sebaik mungkin, dan untuk itu had siling Kumpulan Wang COVID-19 akan ditingkatkan jika perlu.


Sehubungan itu katanya, pada 10 September lalu, Majlis Jemaah Menteri telahpun meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC] bagi meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion; dan meningkatkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus KDNK.


“Pindaan RUU tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini dan ianya bertujuan untuk, antara lainnya, mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19; menambahbaik bantuan tunai langsung kepada rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro.


“MOF juga telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera. Ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan lima puluh peratus (50%) terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,” katanya.

bottom of page