- nabalunews
MoU Peruntukan Pembangkang: Muhyiddin Perlu Lebih Bersikap Seperti Negarawan - Fahmi
21 September 2024
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, diminta agar lebih bersikap sebagai seorang negarawan dengan mengambil pendekatan berlapang dada serta mengadakan perbincangan mengenai draf Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung peruntukan untuk ahli Parlimen Pembangkang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, menekankan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu mengetepikan sikap bongkak dan angkuh demi kepentingan dan masa depan negara yang lebih baik.
"Saya mohon Tan Sri Muhyiddin untuk lebih bersikap sebagai seorang negarawan, lapangkan dada, besarkan hati, duduk di meja rundingan dan kita bincang. Kalau selepas ini ada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang ingin mengeluh jangan salahkan sesiapa, kecuali Presiden PN.
"Saya percaya ramai dalam kalangan ahli Parlimen PN yang ingin lihat sama ada peruntukan ataupun beberapa perkara yang ingin mereka lakukan itu dimasukkan dalam satu MoU," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum Himpunan Gerakan Rakyat berlangsung di Axiata Arena di sini, semalam.
Terdahulu Muhyiddin dilaporkan berkata PN tidak akan mengemukakan sebarang cadangan baharu berkaitan draf MoU tersebut.
Selain itu beliau sekali lagi menegaskan akan tetap dengan keputusan menolak MoU peruntukan berkenaan yang disifatkan bertentangan dengan perlembagaan dan sifat murni rakyat Malaysia.
Sementara itu Fahmi yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjangkakan seramai 10,000 orang akan menyertai Himpunan Gerakan Rakyat malam ini.
Himpunan Gerakan Rakyat dengan tema ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI' dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lalu.
Antara pengisian perhimpunan itu termasuk penceritaan sejarah gerakan reformasi, bacaan sajak, teater ringkas dan ucapan pemimpin-pemimpin reformasi.
Comments