MP Kota Kinabalu gesa GRS berhenti main “wayang politik” mengenai pemberian khas SabahMP Kota Kinabalu gesa GRS berhenti main “wayang politik” mengenai pemberian khas Sabah
top of page
  • Farah Salim

MP Kota Kinabalu gesa GRS berhenti main “wayang politik” mengenai pemberian khas Sabah


19 Julai 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (DAP) berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sudah boleh berhenti bermain wayang dan berlakon mengenai pemberian khas Sabah.


“Kerajaan GRS bolehlah berhenti bermain wayang. Tidak payah GRS berlakon “berharap pemberian khas Sabah akan terus dipertingkatkan.


“Apa yang sudah diwartakan telah mendedahkan kesemuanya. Tiada lagi ruang rundingan untuk tahun 2022 ke 2026.


“Selamat tinggal geran 40 peratus, memandangkan ini sudah dipersetujui secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya dalam Facebooknya, hari ini.


Chan Foong Hin yang turut berkongsi warta itu di Facebooknya berkata: “Hari ini terdapat salinan Warta Kerajaan Persekutuan untuk Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2022 diletak di atas meja Ahli-ahli Parlimen”.


Beliau berkata, warta itu sangat jelas menunjukkan bahawa kajian semula Perkara 112c Perlembagaan Persekutuan telah dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.


“Kedua-dua pihak Persekutuan dan Sabah telah bersetuju dengan pemberian khas Sabah pada tahun-tahun 2022 ke 2026 adalah seperti berikut, tahun 2022 (RM125.6 juta), 2023 (RM129.7 juta), 2024 (RM133.8 juta), 2025 (RM138.1 juta) dan tahun 2026 (RM142.6 juta),” katanya.

bottom of page