top of page

MPP hargai keprihatinan UMS bantu mahasiswa mangsa kebakaran Kampung Bahagia

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

26 April 2026


KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan pihak universiti yang tampil menyalurkan bantuan segera kepada mahasiswa yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan baru-baru ini.


Presiden MPP UMS, Allen Paul Justinus Situ berkata, tindakan pantas pihak pengurusan universiti membuktikan komitmen berterusan UMS dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan musibah yang tidak diduga.


“Bantuan yang disalurkan itu bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan pelajar, malah memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus tabah dan meneruskan pengajian seperti biasa.


"Ini menunjukkan UMS bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, tetapi juga sentiasa hadir menyokong mahasiswa dalam saat sukar," katanya.


Allen berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini pada Ahad.


Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Haji Mansor pada Khamis telah menyampaikan bantuan RM500 berserta bakul makanan masing-masing kepada empat mahasiswa bagi meringankan beban selepas kediaman keluarga musnah dalam kejadian kebakaran tersebut.


Empat pelajar yang menerima bantuan itu ialah Putri Qazreena Abdul Aziz dan Abdul Fadzri Abdul Zaki dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan; Suhana Abdul Han dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan; serta Nur Azrina Aina Arif dari Fakulti Perhutanan Tropika.


Dalam pada itu, Allen turut memberitahu MPP akan terus bekerjasama rapat dengan pihak universiti bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terbela, selain menjadi penghubung antara pelajar dan pengurusan dalam menyuarakan keperluan semasa mahasiswa.


"Sehubungan itu, MPP sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh universiti demi memastikan tiada mahasiswa yang tercicir atau berasa terpinggir apabila berdepan situasi sukar seperti ini.


“MPP juga bersedia memainkan peranan membantu menyalurkan maklumat berkaitan mahasiswa yang memerlukan perhatian segera supaya bantuan dapat disampaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page