MPUPK platform utama bincang program pembangunan PMKS: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MPUPK platform utama bincang program pembangunan PMKS: Ewon




30 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) dibentuk sebagai platform utama membincangkan program dan inisiatif pembangunan usahawan dan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).


Mesyuarat MPUPK Bilangan 1 Tahun 2023 itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, mesyuarat MPUPK pertama yang diadakan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan itu membincangkan pelbagai perkara penting mengenai pembangunan keusahawanan di negara ini.


“Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah perancangan pelaksanaan program-program keusahawanan PMKS yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sepanjang tahun ini.


“Mesyuarat mengambil perhatian bahawa jumlah peruntukan yang disalurkan kepada KUSKOP hanya 1.84 peratus daripada peruntukan sebanyak RM40 bilion yang disediakan untuk PMKS di bawah Belanjawan 2023.


“Oleh itu, Kementerian Ekonomi telah diminta mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi meningkatkan lagi pelaksanaan program keusahawanan KUSKOP,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Ewon berkata, bagi memastikan agenda pembangunan usahawan yang inklusif, KUSKOP telah memperkenalkan program-program baharu seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dengan peruntukan RM5 juta di bawah TEKUN Nasional dan memperuntukkan RM3 juta di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp. khusus untuk usahawan-usahawan di negeri Sabah dan Sarawak.


Selain itu katanya, mesyuarat turut membincangkan mengenai perancangan pelaksanaan program-program usahawan PMKS pada tahun 2023 oleh kementerian-kementerian lain serta kerajaan-kerajaan negeri berdasarkan pelaporan di bawah Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) oleh SME Corp.


“Berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan PMKS yang dicatatkan sehingga Januari 2023 ialah 1.17 juta, iaitu peningkatan purata 3.3 peratus setahun berbanding tahun 2015.


“DOSM menganggarkan sumbangan PMKS kepada KDNK pada tahun 2022 sekitar 37.5 hingga 38 peratus manakala jumlah eksport PMKS bagi Barangan dan Perkhidmatan ialah sekitar 10.9 peratus.


“Ini menunjukkan Kerajaan perlu terus membantu dan menyokong usahawan PMKS memandangkan sektor PMKS menyumbang kepada 48.1 peratus guna tenaga negara dan pada masa yang sama, ia dapat meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara,” katanya.


Ewon berkata, pelaksanaan program dan inisiatif di bawah Belanjawan 2023 oleh semua Kementerian dan Agensi juga diberi perhatian serius dan haruslah berorientasikan hasil.


“Melalui tindakan ini, bantuan kepada usahawan tempatan wajar diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memastikan capaian menyeluruh, tepat dan cepat.


“Bagi tujuan itu, sinergi serta koordinasi antara Kementerian dan Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri perlu ditingkatkan untuk mengelak pertindihan pelaksanaan dan kerja secara silo,” katanya.


Beliau berkata, bagi mengelak pertindihan atau redundancy usahawan-usahawan yang menerima bantuan Kerajaan, mesyuarat bersetuju agar KUSKOP dan Kementerian Ekonomi melalui DOSM menyelaras pangkalan data usahawan yang lebih menyeluruh bagi memastikan lebih ramai usahawan dapat dibantu secara bersasar serta berstruktur oleh Kerajaan.


Selain itu, katanya mesyuarat juga bersetuju agar DOSM bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah membekalkan statistik PMKS yang terperinci bagi perancangan program yang lebih berkesan.


“Mesyuarat juga turut membincangkan kepentingan inisiatif dan intervensi bersasar untuk meningkatkan prestasi dan daya saing PMKS mengikut kitaran hayat perniagaan,” katanya.


Dalam hal ini katanya, KUSKOP akan melaksanakan kajian semula DKN 2030 bermula tahun hadapan untuk mengenalpasti hala tuju sektor keusahawanan negara dengan mengambil kira ekosistem keusahawanan yang dinamik dan memerlukan sektor tersebut mengadaptasi kepada pembaharuan yang berlaku di dalam dan luar negara.

bottom of page