MCMC siasat individu sebar berita palsu diesel Filipina
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

15 April 2026
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel kepada Filipina.
Menurut MCMC, pihak berkuasa sudah mengesahkan diesel berkenaan milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau Kerajaan Malaysia.
Jelasnya, peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
"Setakat semalam, sebanyak 47 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di platform media sosial dan media digital susulan konflik di Asia Barat.
“Kesemua kes sedang dalam siasatan lanjut,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
MCMC memaklumkan, antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman sebenar selain tarif elektrik naik dan kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran.
Selain itu, katanya kandungan palsu turut melibatkan pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura dan penghantaran 329,000 tong diesel syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
"MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu dan indakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.











