top of page

Mr Sabah 2026 Catat Rekod Penyertaan 98 Atlet

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

Updated: 9 hours ago



KOTA BELUD, 23 Ogos 2026 — Kejohanan Mr Sabah 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 98 atlet dari seluruh Sabah mengambil bahagian, sekali gus mencatat rekod baharu penyertaan dalam sejarah penganjuran kejohanan bina badan peringkat negeri.


Kejohanan yang berlangsung di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud itu dianjurkan oleh Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud.


Penganjuran kali ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat. Orang ramai dari sekitar Kota Belud hadir menyaksikan pertandingan dan memberikan sokongan kepada para atlet. Turut hadir menyaksikan kejohanan ialah Peter Jiton, Pegawai Daerah Kota Belud, sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan dan aktiviti bina badan di daerah berkenaan.


Sebanyak 17 kategori dipertandingkan, meliputi kategori remaja, Master, pelbagai kelas berat badan bina badan, Athletic Sport, Athletic Physique serta kategori wanita.


Atlet yang mewakili PDRM, Jesse Yong Ming King, muncul sebagai Juara Antara Juara (Champion of Champions) Mr Sabah 2026 selepas menampilkan prestasi cemerlang dalam dua kategori. Jesse menjuarai kategori Bina Badan 75.1–80kg (Light Middleweight) dan Lelaki Athletic Physique 170cm ke atas.


Nicholas Li dari Total Fitness turut mencatat kejayaan berganda apabila menjuarai kategori Bina Badan 65.1–70kg (Lightweight) serta Lelaki Athletic Physique 170cm ke bawah.


Bagi anugerah Best Poser, Mohd Faez Farhan bin Bakar dari Radu Gym dinobatkan sebagai Best Poser Lelaki, manakala Ivy K Yon dari Xsport Fitness Gym menerima anugerah Best Poser Wanita. Ivy turut muncul juara kategori Bodybuilding Wanita.


Kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Carlyle Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III.


Presiden SBBA, Clarence Runggi, berkata kejohanan berkenaan bukan sekadar medan mencari juara negeri, tetapi menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan mencungkil atlet yang berpotensi mewakili Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan.


Menurut beliau, aspek prestasi, disiplin, komitmen dan konsistensi atlet akan menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan wakil Sabah ke pertandingan Mr Malaysia 2026.


“Pemilihan bukan hanya berdasarkan kemenangan semata-mata. Prestasi keseluruhan, disiplin, komitmen dan kesungguhan atlet juga akan diambil kira kerana mereka yang dipilih nanti akan membawa nama Sabah di pentas kebangsaan,” katanya.


Atlet yang terpilih akan mewakili Sabah ke Mr Malaysia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Alor Setar, Kedah, pada 1 hingga 5 Oktober 2026.


Menurut Clarence, penyertaan seramai 98 atlet dari seluruh Sabah merupakan perkembangan amat positif dan membuktikan sukan bina badan semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat serta atlet di negeri ini.


Beliau berkata SBBA akan terus berusaha menyediakan platform pertandingan yang berkualiti bagi mencungkil bakat baharu, meningkatkan tahap persaingan dan melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Penganjuran Mr Sabah 2026 di Kota Belud dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud turut dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperluaskan pembangunan sukan bina badan ke daerah-daerah serta memberi peluang kepada atlet tempatan untuk menyerlah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page