Mr. Sabah 2026 di Kota Belud 22–23 Ogos, terbuka kepada warganegara Sabah dan Labuan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 4 Jun 2026 – Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud akan menganjurkan Kejohanan Bina Badan dan Fizik Peringkat Negeri, Mr. Sabah 2026, pada 22 hingga 23 Ogos 2026 di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud.
Penasihat kejohanan Persatuan bina badan Sabah, Jashlee Dayah menjelaskan, kejohanan ini menyasarkan penyertaan 100 atlet ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan, atau yang telah menetap di negeri Sabah atau Labuan sekurang-kurangnya enam bulan ke atas. Tiada pendaftaran akan diterima selepas tarikh tutup.
Pendaftaran dibuka mulai 1 Jun 2026 sehingga 10 Ogos 2026, jam 5 petang. Yuran penyertaan adalah RM70 bagi pendaftaran awal dari 1 hingga 30 Jun 2026, manakala RM100 mulai 1 Julai hingga 10 Ogos 2026.
Menurut Jashlee, kejohanan ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat tempatan, di samping menjadi saluran untuk memilih atlet bina badan yang akan mewakili Sabah ke Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55, Mr. Malaysia 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Oktober 2026 di Alor Setar, Kedah. Ia juga bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bina badan.
Sebanyak tiga belas kategori dipertandingkan untuk lelaki dalam acara Bodybuilding mengikut kelas berat, bermula dari 55 kilogram ke bawah sehingga 90 kilogram ke atas, selain kelas Master 45 tahun ke atas serta Junior bawah 21 tahun terbahagi kepada 70 kilogram ke bawah dan 70 kilogram ke atas.
Bagi acara Men’s Athletic Physique dan Men’s Athletic Sport, masing-masing dipertandingkan dalam dua kategori iaitu 170 sentimeter ke bawah dan 170 sentimeter ke atas.
Untuk wanita, dua kategori dipertandingkan iaitu Women’s Model Physique dan Women’s Bodybuilding. Turut diadakan ialah kategori Champion of Champions serta Best Poser untuk lelaki dan wanita.
Dalam kunjungan hormat SBBA ke Pejabat Daerah Kota Belud semalam, Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton, menyambut baik hasrat SBBA dan bersetuju untuk dilantik sebagai Pengerusi Penganjur I kejohanan ini. Mesyuarat susulan bersama agensi berkaitan akan diadakan dalam masa yang terdekat.











