MUHAMMAD IRFAN DISAHKAN POSITIF COVID-19MUHAMMAD IRFAN DISAHKAN POSITIF COVID-19
top of page
  • nabalunews

MUHAMMAD IRFAN DISAHKAN POSITIF COVID-19



1 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin menjadi atlet kedua negara disahkan positif COVID-19.


Pemegang rekod kebangsaan yang kini menjalani latihan di Leipzig, Jerman itu memaklumkan beliau menjalani ujian calitan pada Selasa dan disahkan positif selepas mendapat keputusan ujian pada keesokan harinya.


Anak jati Negeri Sembilan itu berkata susulan keputusan ujian berkenaan, beliau mengambil keputusan menjalani kuarantin kendiri di rumah, namun tidak menyatakan tempoh kuarantin berkenaan.


"Selasa lepas badan rasa tak sedap. Alang-alang insurance dekat sini cover swab test corona, so I went to do the test, so semalam results keluar positif," katanya menerusi hantaran dalam laman Instagramnya, @irfan_sham.


(Selasa lepas badan berasa tidak sedap. Alang-alang insurans di sini meliputi ujian calitan Corona, jadi saya pergi menjalani ujian, keputusan semalam keluar positif)


Sebelum ini, atlet baling tukul besi negara Jackie Wong Siew Cheer disahkan positif COVID-19 pada Mac lepas dan kini pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan di Hospital Sibu, Sarawak.


Muhammad Irfan adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter (m) yang dilakar pada kejohanan olahraga Austrian Top Meeting 2017.


Beliau turut mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali keempat berturut-turut sejak edisi 2013 di Myanmar selepas melakar balingan sejauh 57.29 m pada Sukan SEA 2019 di Filipina.


Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu ketika dihubungi Bernama memaklumkan, badan induk itu bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya kepada Muhammad Irfan.


Beliau berkata Muhammad Irfan mendapat kebenaran menjalani latihan di Jerman selepas mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Bernama

bottom of page