top of page
nabalunews

Muhyiddin mengaku tidak bersalah sebut perkataan menghasut, ceramah isu 3R

27 Ogos 2024


GUA MUSANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut yang menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.


Bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.


Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 77 didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu, Gua Musang.


Beliau didapati menyebut perkataan yang menghasut pada 14 Ogos 2024 antara jam 10.30 hingga 11.50 malam.


Sinar Harian melaporkan melalui ceramah berkenaan, terdapat ayat: "Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 ahli Parlimen yang sokong saya. Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115. Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi dua berapa? 111... kalau dapat lebih satu dia boleh bentuk kerajaan tapi saya dapat 115.


"Kalau ikut kiraan Perlembagaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it's a record of history. Tapi entah macam mana Yang Dipertuan Agong waktu itu tak jemput saya pergi Istana angkat sumpah. Siapa yang Dipertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk eh tapi yang itu bagi saya agak luar biasa... tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan... sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon".


Oleh itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Kes dikendalikan enam Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.


Semasa prosiding, Umar Saifuddin memohon jaminan ditawarkan sebanyak RM20,000 selain mengenakan syarat tambahan berhubung perintah larangan bersuara dan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.


Bagaimanapun, pihak pembelaan diwakili Amer Hamzah memohon kadar ikat jamin dikurangkan dengan mengambil kira beberapa kes sebelum ini yang berada di bawah seksyen sama iaitu memperuntukkan jumlah denda tidak melebihi RM5,000.


Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan menolak permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan bersuara.


Mahkamah juga menetapkan 4 November sebagai tarikh sebutan semula kes.


Sebelum itu, Muhyiddin tiba di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada jam 8.43 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkenaan susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, awal bulan ini.


Kira-kira 1,000 penyokong beliau memenuhi pekarangan mahkamah diiringi laungan takbir.


Turut dilihat mengiringi beliau ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Mat Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengerusi PN itu kemudian dilihat keluar dari perkarangan mahkamah jam 10.30 pagi selepas membayar ikat jamin.


Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan Muhyiddin disiasat mengikut Akta Hasutan susulan ceramahnya berkait Raja, Agama dan Kaum (3R) dalam kempen PRK Dun Nenggiri, baru-baru ini.


Polis menerima 30 laporan polis berkaitan ucapan Muhyiddin dan serama 66 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan.


Sebelum itu, tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh terbabit yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.


Comentarios


bottom of page