Murid tahun empat meninggal dipercayai keracunan makanan
Wartawan Nabalu News

26 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Seorang murid tahun 4 SK Taman Rimba, Sandakan dilapor meninggal dunia pada pagi Khamis dipercayai akibat keracunan makanan.
Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, dilapor meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess Of Kent Sandakan dimana dia menerima rawatan bersama ibunya selepas mengalami keracunan makanan di rumah pada 23 Julai.
Sebelum itu, gurunya dimaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana keracunan makanan melalui 'whatsapp' dan telah ke klinik serta diberi cuti sakit selama dua hari 23 hingga 24 Julai 2024.
Sehingga 25 Julai (Khamis), guru kelas dimaklumkan oleh keluarga murid bahawa anak mereka tiba-tiba pengsan pada malam hari Rabu dan telah dimasukkan ke ICU setelah dibawa ke hospital berkenaan sebelum dimaklumkan telah meninggal dunia pada pagi Khamis.
Pihak sekolah juga telah melakukan ziarah terhadap jenazah murid itu di rumah nenek kanak-kanak itu.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan membuat laporan lengkap kes apabila semua siasatan selesai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.
Raisin dalam kenyataannya juga berkata, murid-murid SK Taman Rimba yang lain tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama mangsa dilaporkan keracunan makanan sehingga ke hari ini (Jumaat).
"JPN Sabah melalui PPD Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful." Jelasnya.
Sementara itu kes keracunan makanan sehingga menyebabkan seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rimba, Sandakan meninggal dunia bukan disebabkan makanan di kantin sekolah.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata ini kerana kejadian hanya melibatkan seorang murid sahaja dan ibu murid tersebut turut mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.
Sementara murid-murid lain tidak mengalami sebarang simtom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari ini.
Siasatan berkenaan kes itu juga masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar keracunan makanan itu.
Opmerkingen