Mustapha seru PKR Kota Belud sokong penuh kepimpinan PMX
28 Oktober 2024
KOTA BELUD: Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) P.169 Kota Belud telah berlangsung pada Sabtu, 26 Oktober lalu di Kompleks Sukan Botung, Kota Belud.
Majlis ini bermula dengan sesi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di sebelah pagi, disusuli dengan Mesyuarat Cabang PKR Kota Belud.
Ketua Cabang PKR Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ahli Parlimen Sepanggar, dalam ucapan dasarnya menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan RM6.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan meminta kepada ahli-ahli PKR Kota Belud agar terus menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri.
Beliau juga mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah politeknik di Tempasuk, yang dijangka akan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat dalam meningkatkan peluang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Selain itu, Mustapha turut membangkitkan beberapa inisiatif kerajaan negeri yang penting, termasuk penyediaan wang pendahuluan bagi pelajar Sabah dari keluarga B40 yang ingin melanjutkan pengajian ke Semenanjung Malaysia.
Beliau juga mengulas mengenai Ordinan Buruh yang memperuntukkan cuti bersalin 90 hari kepada ibu dan cuti 7 hari bagi suami, sebagai langkah menyokong kesejahteraan keluarga.
Datuk Mustapha menegaskan bahawa pelantikan jawatan di peringkat kampung akan mengikuti sistem pembahagian 60% untuk parti yang menang dan 40% untuk parti komponen lain, dengan harapan ini akan meningkatkan kesatuan dan keterangkuman dalam struktur pentadbiran.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan menambah 35 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak kerana ia satu langkah yang dilihat dapat memperkukuhkan suara kedua-dua negeri di peringkat pentadbiran Persekutuan.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.18 Inanam, Datuk Peto Galim; ADUN N.9 Tempasuk dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Mohd Arshad Bistari; Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Caryle Lajimin yang mewakili Presiden UPKO Malaysia, Datuk Ewon Benedick; Ketua Bahagian STAR N.9 Tempasuk, Suwah Bulleh; Ketua Bahagian PBS N.9 Tempasuk, James Bagah; dan Pengerusi MCA P.169 Kota Belud, Chua Chong Chin.
Mesyuarat ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang pemilihan jawatan. Semua minit mesyuarat dibentangkan dan disokong sebulat suara oleh para perwakilan yang hadir.
Comments