MUTASI COVID-19 DITEMUI DALAM KLUSTER BENTENG LAHAD DATU
- Wartawan Nabalu News
- Nov 26, 2020
- 1 min read

26 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Mutasi Covid-19 dari varian D614G atau dikenali sebagai ‘superspreader’ ditemui di kalangan Kluster Benteng Lahad Datu pada September lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, setakat kelmarin (25 November) sebanyak 1,157 kes positif dikaitkan dengan Kluster Benteng Lahad Datu.
“Manakala perkaitan varian D614G dengan kluster-kluster lain tidak dibuktikan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa membuat survelans jangkitan Covid-19 di kalangan masyarakat dengan melakukan saringan wajib dan bersasar.
Beliau berkata, saringan itu termasuk saringan untuk pengembara, pra-kemasukan ke hospital, pra-rujukan, saringan sebelum memulakan pekerjaan dan lain-lain lagi.
“Pelaporan kejadian kluster baharu berlaku apabila terdapat pola jangkitan dalam masyarakat yang tidak dibuktikan berhubung-kait dengan kluster-kluster lain sedia ada.
“Perkaitan antara kluster-kluster adalah sukar dibuktikan secara tepat kerana jangkitan Covid-19 telah berlaku dalam komuniti dan terdapat di kalangan mereka yang terjangkit tetapi tidak menunjukkan sebarang symptom,” katanya.















Comments