MYANMAR: TUNJUK PERASAAN BERTERUSAN MESKIPUN TENTERA SEMAKIN AGRESIFMYANMAR: TUNJUK PERASAAN BERTERUSAN MESKIPUN TENTERA SEMAKIN AGRESIF
top of page
  • nabalunews

MYANMAR: TUNJUK PERASAAN BERTERUSAN MESKIPUN TENTERA SEMAKIN AGRESIF


Gambar hiasan

4 Mac 2021

YANGON: Di tengah kebimbangan berikutan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antikudeta di Myanmar, orang ramai terus berkumpul di beberapa bandar pada Khamis, dengan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri daripada junta tentera yang semakin bertindak agresif.

Rabu menjadi hari paling berdarah di negara ini sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari, dengan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di beberapa kawasan.


Orang ramai dilihat lebih berhati-hati, berkumpul di kawasan kejiranan dan bukan di lokasi utama protes.

Di Yangon, laluan dan jalan raya utama disekat dengan penghadang dan beg pasir untuk menjaga keselamatan pihak berkuasa.

Protes juga berlaku di bahagian lain di negara ini, termasuk Mandalay dan Monywa, dengan beberapa orang maut dalam keganasan pada Rabu.

Lebih 100,000 menyertai tunjuk perasaan pada Khamis, menurut media tempatan Monywa Gazette.

Di Utara Okalapa, di Yangon, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh.

Pengarah Kumpulan Pemikir Institut Tamadipa yang berpusat di Yangon, Khin Zaw Win, berkata tentera "bertindak seperti mereka berada di medan perang".

“Anggota polis dan tentera tidak mengikuti prosedur operasi standard. Mereka melepaskan tembakan dengan sewenang-wenangnya. Malah mereka memecah masuk masuk kedai dan rumah,” katanya ketika dihubungi Anadolu.

Ratusan lagi dilaporkan ditangkap di Yangon, termasuk empat sukarelawan penyelamat yang membantu penunjuk perasaan yang cedera. - Bernama



bottom of page