MYCC Lancar Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

10 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), hari ini melancarkan Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kajian berkenaan sejajar dengan kefungsian KPDN untuk mewujudkan ekosistem perdagangan domestik yang mampan dan progresif, khususnya dalam memastikan pasaran yang adil serta melindungi kepentingan pengguna.
“Kajian ini penting bagi menilai struktur pasaran serta amalan perniagaan dalam sektor ekonomi digital yang berpotensi memberi kesan terhadap ekosistem persaingan, pilihan pengguna, harga barangan dan perkhidmatan serta percukaian di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kajian selama 18 bulan bermula pada Julai 2024 itu memberi tumpuan kepada empat bida utamag, iaitu sistem pengendalian mudah alih dan perkhidmatan pembayaran, platform e-dagang runcit, perkhidmatan pengiklanan digital serta agensi pelancongan dalam talian (OTA).
Selain itu, menurut beliau, kajian turut memberi fokus kepada isu privasi dan perlindungan data dalam keempat-empat bidang tersebut.
Menurutnya, hasil dapatan antara lain menunjukkan terdapat amalan tertentu oleh platform digital yang berpotensi menjejaskan persaingan adil serta memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan daya saing perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Antara isu yang dikenal pasti termasuk struktur komisen yang tinggi, terma kontrak yang menyekat, ketelusan terhad dalam mekanisme penetapan harga serta kawalan terhadap data pengguna.
“Sehubungan itu, MyCC mencadangkan beberapa tindakan konkrit termasuk penubuhan pasukan khas pasaran ekonomi digital menerusi pendekatan whole-of-government bagi membolehkan kerajaan menangani jurang pengawalseliaan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kajian itu juga menekankan keperluan untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap agensi pelancongan dalam talian melalui kerjasama rapat antara MyCC, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Selain itu, katanya, ia turut mengenal pasti keperluan untuk melaksanakan penambahbaikan kaedah percukaian digital bagi memastikan platform digital menyumbang secara adil kepada pembangunan negara.
“Data kutipan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital (SToDS) menunjukkan peningkatan kepada RM1.62 bilion pada 2024 berbanding RM802 juta pada 2021.
“Namun, kajian ini menganggarkan masih wujud jurang potensi sumbangan cukai tahunan yang signifikan berikutan perbezaan kadar cukai antara platform digital dan perniagaan tempatan,” katanya.














