KDN bentang pindaan Akta 7 tahun ini, perkenal mekanisme SPENT
- nabalunews
- 23 minutes ago
- 1 min read

10 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses meminda Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) dan dijangka membentangkannya di Parlimen tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan akta tersebut akan memperkenalkan mekanisme SPENT iaitu nyahaktif terhadap individu yang pernah melakukan kesalahan.
Menurut beliau, mekanisme peluang kedua itu bagi membolehkan pengecualian terhadap rekod jenayah tertentu selepas individu terbabit melalui tempoh bebas jenayah.
“Mekanisme ini terpakai selepas seseorang individu disabitkan kesalahan, melalui keseluruhan proses perundangan termasuk rayuan, didaftarkan dalam daftar penjenayah, serta menyelesaikan hukuman, denda atau kompaun yang dikenakan.
“Sekiranya individu berkenaan tidak mengulangi kesalahan dalam satu tempoh munasabah, maka rekod jenayah tertentu boleh dianggap sebagai telah dinyahaktif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu adakah Kementerian bercadang untuk menghapuskan rekod-rekod bekas banduan bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.
Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan pengecualian itu tidak melibatkan kesalahan serius dan tertakluk kepada ketetapan yang akan diputuskan Parlimen semasa perbahasan pindaan akta tersebut.
Menurutnya, dalam merangka mekanisme berkenaan, kerajaan turut merujuk amalan terbaik antarabangsa, termasuk di United Kingdom, Singapura, Brunei dan Australia, yang membenarkan pengecualian rekod jenayah tertentu selepas tempoh bebas jenayah serta tertakluk kepada syarat.
"Cadangan ini sekarang berada di peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan saya bercadang untuk membentangkannya pada sesi Parlimen tahun ini juga.
"Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan cadangan pindaan pada 21 Mei tahun lalu yang secara tidak langsung memberi mandat kepada KDN untuk memulakan proses perundangan," katanya.














