SARA RM100 dikredit hari ini, kategori sejuk beku ditambah
- nabalunews
- 6 minutes ago
- 1 min read

9 Februari 2026
PUTRAJAYA: Sumbangan Asas Rahmah (Sara) Untuk Semua mula disalurkan hari ini kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memakumkan, penerima akan mendapat RM100 secara sekali beri (one-off) yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026.
“Dengan SARA Untuk Semua, isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung pada bilangan ahli dewasa yang layak.
“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 kredit SARA untuk semua secara keseluruhan, tidak termasuk bantuan SARA bulanan jika berkelayakan,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan maklum balas rakyat, kerajaan bersetuju untuk meluaskan kategori barangan SARA untuk merangkumi makanan sejuk beku, menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas.
Jelasnya, penambahan kategori makanan sejuk beku turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan.
“Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026.
“Selain itu, jarak kedai runcit terdekat turut disasarkan untuk dikurangkan daripada 1 kilometer kepada 7 kilometer,” katanya.
Dalam pada itu, MOF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, sambil menegaskan pihaknya tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) berkenaan SARA Untuk Semua melalui portal rasmi SARA https://sara.gov.my.


















Comments