top of page

MYspaCe Perkasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Ekonomi Kreatif

  • nabalunews
  • Apr 29
  • 2 min read

Nizam menyantuni warga media pada hari ketiga sidang DUN Sabah.
Nizam menyantuni warga media pada hari ketiga sidang DUN Sabah.

29 April 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MYSpaCE) terus komited memperkasa pembangunan belia, memperkukuh sektor sukan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi kreatif demi kesejahteraan rakyat, khususnya generasi muda di negeri ini.


Menterinya, Datuk Seri Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan bagi melahirkan belia berdaya saing, berkemahiran serta memiliki ciri kepimpinan yang unggul.


Katanya, antara program utama yang menjadi tunjang pembangunan belia termasuk Felo SMJ, DUN Belia, Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) serta Sukarelawan SMJ.

“Program-program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada aspek kepimpinan, malah membuka ruang kepada belia untuk terlibat secara langsung dalam proses pembangunan negeri.


“Kerajaan Negeri komited memastikan belia Sabah terus diperkasa melalui platform yang mampu membentuk jati diri, meningkatkan kemahiran serta memperluas peluang penyertaan dalam pelbagai sektor strategik,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.


Menurutnya, usaha menjadikan Sabah sebagai Negeri Sukan akan terus diperkukuh melalui penambahbaikan fasiliti serta pelaksanaan program pembangunan sukan yang menyeluruh.


Katanya, langkah itu selari dengan matlamat kementerian untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat di samping melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


“Pembangunan sukan bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan fizikal rakyat, tetapi juga berperanan sebagai platform untuk mengharumkan nama negeri di persada dunia,” katanya.


Sementara itu, Nizam berkata, sektor ekonomi kreatif turut diberi perhatian serius sebagai pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negeri.


Katanya, pihaknya juga menyasarkan peningkatan penglibatan belia dalam industri berasaskan kreativiti seperti seni muzik, filem, makanan dan kraftangan.


“Saya yakin bahawa pengembangan industri ini mampu mengubah landskap kehidupan belia Sabah, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.


“Jika sektor ekonomi kreatif ini diperkasakan secara menyeluruh, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada belia, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan,” katanya lagi.


Nizam berkata, Kerajaan Negeri optimis bahawa menerusi pendekatan holistik merangkumi pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif, Sabah akan terus melahirkan generasi muda yang progresif, inovatif dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa depan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page