Nafi Dakwaan Rasis, Sedia Mohon Maaf Jika Berlaku Salah Faham- De Marigny
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

9 Disember 2025
KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny menafikan dakwaan berunsur perkauman yang mengaitkan dirinya oleh pemain PDRM FC, Fadi Awad, susulan perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan, Sabtu lalu.
De Marigny menjelaskan, perlawanan berkenaan berlangsung dalam suasana fizikal yang sengit dan interaksinya dengan pemain tersebut hanya berlaku secara ringkas pada separuh masa pertama.
Menurutnya, beliau mendekati Fadi Awad bagi meminta pemain berkenaan menghentikan tindakan yang disifatkan agresif terhadap pemain Sabah FC selepas beberapa cabaran di atas padang.
“Perbualan itu berlangsung tidak lebih daripada 30 hingga 45 saat. Saya hanya mengulangi permintaan tersebut dengan nada yang lebih tegas, namun saya tidak pernah sekalipun menghina atau mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sekiranya pemain berkenaan berasa tersinggung akibat salah faham, beliau bersedia untuk memohon maaf, namun tidak akan memohon maaf kerana mempertahankan keselamatan dan kebajikan pasukannya.
“Mengaitkan perbualan singkat itu dengan isu rasisme adalah tidak adil dan amat menyinggung perasaan,” katanya.
De Marigny turut menekankan pengalaman lebih 45 tahun dalam dunia bola sepak, bekerja bersama pemain daripada pelbagai latar belakang dan budaya di seluruh dunia.
Berkongsi latar belakang peribadinya, beliau berkata membesar di Australia yang bersifat majmuk serta mempunyai hubungan kekeluargaan merentasi pelbagai etnik menjadikan isu perkauman sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Di Australia, rasisme adalah perkara yang dipandang serius dan tidak pernah ditoleransi,” jelasnya.
Mengakhiri kenyataan, de Marigny mendoakan yang terbaik buat kerjaya Fadi Awad dalam perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.














