- nabalunews
Naik gaji, kerajaan mahu khidmat penjawat awam jauh lebih baik, setimpal
6 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijanjikan tertinggi dalam sejarah negara sejak Merdeka akan diumumkan secara kaedah 'kasar' terlebih dahulu, pada bulan ini.
Perdana Menteri sebaliknya berkata perincian selengkapnya seperti mana yang dijanjikan kerajaan akan diumumkan dalam Belanjawan 2025, Oktober ini sebelum ia dilaksanakan 1 Disember kelak.
"Dalam tempoh beberapa minggu ini, kita akan mengumumkan kaedah kasar yang membuktikan dalam sejarah Malaysia, walaupun ada suara pembangkang yang tidak pernah reti bersyukur dan menerima kenyataan, namun percayalah apabila saya umumkan bulan Ogos ini.
"Lengkapnya (perincian) seperti mana saya janjikan pada Oktober dan dilaksanakan 1 Disember ini," katanya
seperti dilaporkan Berita Harian.
Anwar berkata demikian dalam ucapan pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI), hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, tiga perkara ditekankan dalam menyelaraskan gaji penjawat awam iaitu disebabkan tiada kajian menyeluruh kenaikannya sejak 12 tahun lalu selain bagi mengiktiraf peranan penjawat awam.
Beliau berkata, melalui penyelarasan gaji ini, kerajaan juga mahu khidmat penjawat awam jauh lebih baik setimpal dengan kenaikan gaji mereka.
"Pertama negara membangun tapi selama 12 tahun tiada kajian menyeluruh kenaikan gaji, kedua kerana mengiktiraf peranan mereka selama ini.
"Kerajaan silih berganti, perdana menteri silih berganti tetapi penjawat awam menjalankan tuga secara profesional menjalankan amanah ini.
"Dengan pelarasan gaji ini, kita mahu supaya khidmat mereka kepada rakyat, jauh lebih baik setimpal daripada gaji diberikan," katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim, dilaporkan berkata penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi SSPA yang diperkenalkan kerajaan.
Beliau dilaporkan berkata, perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.
"Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji kita. Pada 1 Disember, akan berlaku kenaikan gaji dan hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji baharu," katanya.
Comments