top of page

Ruang Digital: Polis Dakwa Trend Perdebatan Provokatif Kian Membimbangkan

  • nabalunews
  • Apr 17
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


17 April 2026


KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 kes berkaitan penyalahgunaan media sosial untuk tujuan hasutan telah disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026, membabitkan provokasi terhadap institusi diraja, kaum, pentadbiran keadilan dan kerajaan.


Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Datuk M. Kumar Muthuvelu dalam kenyataan hari ini memberi amaran bahawa trend menjadikan media sosial sebagai platform perdebatan yang menyalahi undang-undang, termasuk menyebarkan hantaran atau komen berbaur hasutan, semakin membimbangkan.


Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau aplikasi bagi maksud tersebut.


Menurut polis, perbuatan itu jelas bertentangan dengan Akta Hasutan 1948 (Akta 15). Di bawah Seksyen 3(1)(a), kecenderungan menghasut membawa maksud mendatangkan kebencian atau penghinaan, atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.


Kesalahan di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pertama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Polis menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan penghinaan, fitnah atau provokasi yang menggugat keharmonian, keamanan dan ketenteraman awam. Orang ramai dinasihati menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara.


Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal selamat serta memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page