top of page

Nelayan tetak rakan guna kapak

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

ree

13 Ogos 2025


TAWAU: Seorang nelayan ditahan selepas dilaporkan menetak rakan menggunakan kapak dalam kejadian di Kampung Pengakalan Asli, Merotai Besar, di sini, Ahad lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 48 tahun terbabit dikatakan bertindak agresif secara tiba-tiba menetak kepala mangsa.


Bagaimanapun, mangsa difahamkan hanya mengalami kecederaan dan sempat dihantar ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek berusia 48 tahun berjaya ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai.


Katanya, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada jam 2.20 petang tadi.


“Suspek turut memandu arah polis untuk mendapatkan sebilah kapak di bawah rumah yang dipercayai digunakan semasa kejadian.


“Insiden tetak itu berlaku semasa mangsa bersama abang dan adik suspek di rumah keluarga suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Champin berkata, sebelum kejadian suspek dikatakan keluar dari bilik tidur sebelum bertanya kepada rakan suspek mengenai keberadaan parang miliknya.


“Namun, apabila rakan pengadu bergerak ke dapur untuk mengambil parang yang dimaksudkan, suspek mengekorinya dari arah belakang dan terus menetak kepala mangsa itu dengan menggunakan kapak.


“Mangsa terus melarikan diri ke halaman rumah dengan keadaan berdarah bagi mendapatkan bantuan.


Champin berkata, adik suspek segera memberi pertolongan dan menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan.


Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page