top of page

Nik Nazmi Letak Jawatan

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read


28 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengikuti langkah Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli apabila mengumumkan peletakkan jawatannya, hari ini.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sosial facebook miliknya memaklumkan, surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa pada 4 Julai depan.


Katanya, beliau akan mula bercuti esok hingga 3 Julai depan dan keputusan itu diambil berikutan kegagalannya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.


“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.


“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” katanya.


Nik Nazmi berkata, beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan pejabatnya yang cemerlang serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.


“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang.


“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.


“Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: ‘Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam’,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page