Nilai potensi jualan produk Sabah cecah RM95.9 juta
- nabalunews
- 7 hours ago
- 3 min read

16 Mei 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan usahawan tempatan berjaya meningkatkan kebolehpasaran produk Sabah ke pasaran antarabangsa dengan mencatatkan nilai potensi jualan mencecah RM95.9 juta sepanjang tahun 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pencapaian ini direkodkan menerusi penyertaan seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa.
“Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya dan membuktikan bahawa produk keluaran Sabah mempunyai kualiti serta potensi besar untuk bersaing di pasaran global,” katanya pada program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Ketua Menteri berkata bagi tahun 2026 pula, Kerajaan Negeri akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa dengan penyertaan dalam pelbagai ekspo perdagangan utama di beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis.
“Langkah ini bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan Sabah, malah turut memperkenalkan identiti serta keunikan produk tempatan ke peringkat dunia,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) telah diberikan mandat yang penting dalam memperkukuh pembangunan sektor keusahawanan dan industri tempatan.

Hajiji berkata antara lain, penekanan kepada pembangunan kapasiti usahawan turut dilaksanakan melalui pelbagai program sokongan termasuk bantuan mesin dan peralatan perniagaan.
Sehingga tahun 2025, seramai 5,879 usahawan tempatan telah menerima manfaat ini khususnya dalam membantu meningkatkan produktiviti, kecekapan serta kemampuan perusahaan tempatan untuk terus berkembang, katanya.
“Saya percaya, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana serta pemain industri, agenda memperkukuh ekonomi domestik dan memartabatkan produk tempatan akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat dan kemajuan negeri Sabah secara keseluruhannya,” katanya.
Hajiji menyeru kepada usahawan Sabah untuk merebut peluang mengetengahkan produk yang berkualiti dan berpotensi tinggi berdasarkan kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak tempat lain untuk diketengahkan ke pasaran yang lebih luas.
“Namun begitu, kita juga perlu mengakui bahawa masih ramai usahawan kita yang bergerak dalam skala kecil dan belum memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia.
“Ada produk yang sangat baik, tetapi belum dipasarkan secara agresif. Ada yang berkualiti, tetapi masih lemah dari segi penjenamaan dan pembungkusan. Ada juga yang mempunyai potensi besar, tetapi belum berani melangkah keluar daripada pasaran setempat,” katanya.
Oleh itu, beliau mahu semua usahawan Sabah agar berani keluar daripada zon selesa. “Kalau kita mahu pergi lebih jauh, kita mesti berani berubah, berani belajar dan berani meneroka peluang baharu. Untuk menembusi pasaran global, kita mesti bersedia dari semua aspek. Kualiti produk perlu konsisten.
“Pembungkusan atau packaging perlu memenuhi standard antarabangsa. Kita juga perlu memahami kehendak dan citarasa pengguna moden, termasuk pelancong yang datang ke negara kita,” katanya.
Hajiji turut menyeru agar usahawan tempatan memanfaatkan peluang besar untuk memperkenalkan produk mereka sebagai duta kecil dalam sektor pelancongan Sabah yang telah mencatatkan kemasukan 10.67 juta orang pelancong dan jumlah perbelanjaan mencecah RM23.42 bilion pada tahun 2021 hingga 2025.
“Jika diurus dengan baik, produk-produk tempatan ini mampu menjadi kekuatan ekonomi baharu yang membanggakan negara. Justeru, kepada usahawan di Sabah, manfaatkanlah juga peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mempromosikan produk tempatan kepada pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, platform seperti Kempen Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, katanya.
Menurutnya, pelaksanaan KBBM pada tahun 2024 telah mencatatkan nilai jualan berjumlah RM7.4 bilion yang menunjukkan peningkatan berbanding RM6.5 billion pada tahun 2023 dan RM2.7 bilion pada tahun 2022.
Katanya, dalam masa yang sama, pada tahun 2025, sektor perdagangan runcit dan borong
negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM1.87 trilion, meningkat berbanding RM1.766 trilion pada tahun 2024.
Beliau berkata pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik, peningkatan keyakinan pengguna serta perkembangan pesat sektor perdagangan negara.
Ini membuktikan bahawa usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perdagangan domestik, termasuk melalui pelaksanaan kempen seperti KBBM, semakin memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya, katanya.
“KBBM bukan sekadar ruang untuk menjual produk, tetapi peluang untuk membina jaringan, memperkukuh jenama dan membuka akses kepada pasaran yang lebih besar.
“Saya amat menggalakkan usahawan Sabah untuk membina kerjasama strategik, bukan sahaja sesama usahawan di negeri ini, tetapi juga dengan rakan industri di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.















Comments