top of page

NSRC Perkukuh Tindakan Tangani Kes Penipuan Dalam Talian

  • nabalunews
  • 1 minute ago
  • 2 min read

ree

24 September 2025


KOTA KINABALU: Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) yang diwujudkan kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian (scam) yang berleluasa di negara ini.


NSRC yang kini diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) berfungsi sebagai pusat respons khas yang memberi bantuan segera kepada mangsa dalam tempoh kritikal 24 jam selepas kejadian dilaporkan.


Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, antara peranan utama NSRC adalah menerima laporan mangsa, menyalurkan maklumat kepada pihak bank serta agensi penguat kuasa.


Selain itu katanya, ia juga berperanan membantu membekukan akaun bank yang disyaki dan menyelaras operasi penguatkuasaan dengan agensi terlibat.


“Mangsa boleh terus menghubungi talian hotline 997 yang beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu bagi membuat laporan.


“NSRC juga akan bertindak segera membantu membekukan akaun suspek dalam tempoh ‘golden hour’. Namun, pemulangan wang tertakluk kepada hasil siasatan dan proses undang-undang,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah Bgai Bulan September, hari ini.


Menurutnya, antara jenis scam yang boleh dilaporkan termasuk Phone Scam (penyamaran sebagai polis, mahkamah, LHDN dan lain-lain) dan Love Scam melalui media sosial dan aplikasi temu janji.


“Selain itu, terdapat juga laporan Jenayah e-Dagang (barangan tidak dihantar atau penjual hilang selepas bayaran dibuat), E-Financial Fraud membabitkan kecurian maklumat akaun bank dan TAC, Pinjaman Tidak Wujud (PTW) serta Pelaburan Online berbentuk skim cepat kaya,” katanya.


Sementara itu, Abdul Rani berkata, sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah menerima 2,057 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM 213 juta.


“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan tidak mendedahkan maklumat perbankan atau kod TAC termasuk tidak mengklik pautan mencurigakan.


“Orang ramai juga disarankan supaya sentiasa membuat semakan sebelum membuat pembayaran dan berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page