Bayaran balik cukai dikredit mulai minggu kedua Mac - LHDN
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

7 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Bayaran balik cukai kepada pembayar yang layak dan telah selesai diproses akan mula dikreditkan secara berperingkat pada minggu kedua Mac 2026.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan, bayaran balik itu melibatkan pembayar cukai individu yang telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025, selaras dengan pembukaan perkhidmatan e-Filing bermula 1 Mac lalu.
"Selaras dengan Piagam Pelanggan LHDN, bayaran balik cukai bagi BNCP yang dihantar melalui e-Filing akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja manakala bagi BNCP yang dihantar secara manual pula, tempoh pemprosesan ialah sehingga 90 hari bekerja.
"Bagaimanapun, sekiranya maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai adalah lengkap dan tepat serta tidak memerlukan semakan lanjut, bayaran balik cukai akan diproses lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, LHDN menasihati pembayar cukai supaya memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada agensi berkenaan adalah tepat dan terkini bagi memastikan proses bayaran balik berjalan lancar.
Dalam pada itu, LHDN berkata pihaknya komited untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai serta memastikan urusan percukaian dilaksanakan secara cekap.











