top of page

Polis Siasat Insiden Belasah Penguatkuasa MPS

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 1 min read

7 Mac 2026


SANDAKAN: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki ketika menjalankan rondaan di kawasan Pasar Batu 8, di sini, pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa bersama rakan sekerjanya menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan di kawasan pasar berkenaan.


Katanya, mangsa telah menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan berkenaan sebelum berlaku pertengkaran dan mangsa diserang beberapa individu tidak dikenali.


"Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan.


"Polis telah memulakan siasatan dan telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. Setakat ini, satu tangkapan telah dibuat," katanya.


Menurutnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page