top of page

Op Hazard: RM720,000 Barangan Sisa Elektronik Dirampas

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

7 April 2026


KOTA KINABALU: Operasi Op Hazard yang dijalankan di daerah Penampang dan Sandakan, semalam, berjaya merampas pelbagai barangan sisa elektronik (e-waste) dan bateri kereta bernilai RM720,998.


Operasi melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu dilaksanakan bagi mengesan pusat penyimpanan barang lusuh serta e-waste tanpa lesen sah.


Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.

Katanya, serbuan yang dijalankan di daerah Penampang berjaya merampas kira-kira lapan tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah


“Manakala operasi di Sandakan pula membawa kepada rampasan pelbagai barangan e-waste termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh serta barangan elektrik lain.


“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan oleh LHDN juga mendapati terdapat premis yang tidak dapat mengemukakan dokumen percukaian yang lengkap.


“Kes diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 serta Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.


“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM720,998,” katanya.


Ahmad berkata, pihaknya akan terus komited membanteras sebarang aktiviti haram yang boleh mencemarkan alam sekitar serta menyebabkan ketirisan hasil negara.


“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page