OPERASI MINYAK SAWIT DI SABAH BERJALAN SEPERTI BIASA WALAUPUN DENGAN SOP
26 Jan 2021
KUALA LUMPUR: Industri perladangan sawit di Sabah dibenarkan untuk meneruskan operasi harian mereka dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masing-masing bagi membendung penularan COVID-19.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) berkata sekiranya PKP sepenuhnya dilaksanakan, negeri Sabah dan rakyatnya akan mengalami kerugian besar dan ia juga memberi kesan kepada sosioekonominya.
Dua persatuan itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan oleh kerajaan negeri Sabah bahawa negeri itu dan industri perladangan sudah mencapai persetujuan bersama dan akan melaksanakan penutupan operasi di sektor perladangan selama 30 hari secara sukarela bagi menangani pandemik tersebut.
“Para penanam sawit diminta bekerjasama dengan kakitangan Kementerian Kesihatan dan semua penyedia perkhidmatan ujian calitan swasta lain yang mendapat kelulusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), memberi kerjasama sepenuhnya dalam penilaian risiko, mematuhu prosedur operasi standard (SOP) dan menyediakan kemudahan kawasan pengasingan dan kuarantin jika diperlukan,” kata kata MPOA dan MEOA.
Dua persatuan itu berkata sekatan perjalanan yang perlu dipatuhi oleh sektor itu ketika beroperasi antaranya ialah kawalan kemasukan ke ladang, SOP yang ketat dalam pengagihan makanan, perkhidmatan dan bekalan yang melibatkan baja dan lain-lain berkaitan agrokimia, alat ganti serta jentera.
“Pekerja dan semua kakitangan ladang akan dikenakan sekatan perjalan, melaksanakan penjarakan fizikal dalam kawasan ladang, pemakaian pelitup muka, tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai dalam kawasan ladang serta langkah-langkah pencegahan tambahan seperti penjagaan kebersihan diri,” katanya.
Persatuan itu meminta ahli-ahli mereka (gabungan tanah simpanan ahli MPOA dan MEOA mewakili 43 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit di Sabah) dan semua pekebun lain di Sabah untuk mematuhi langkah-langkah yang dinyatakan dan mempercepatkan ujian calitan terhadap semua pekerja mereka.
Sabah adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia dan daripada 5.8 juta hektar yang kini diliputi kelapa sawit (di seluruh negara), sebanyak 1.54 juta hektar terletak di Sabah dengan lebih 10,000 penanam sawit dan pekebun kecil berada di negeri tersebut. - Bernama
Comments