OPERASI PEJABAT JPN SABAH DI ZON MERAH AKAN DITUTUP MULAI 12 OKT
10 OKTOBER 2020

OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Negeri Sabah akan menutup operasi di semua pejabat JPN yang dikategorikan sebagai kawasan Zon Merah, mulai 12 Oktober ini, ekoran peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Pengarah JPN, Negeri Sabah Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pejabat-pejabat itu ialah JPN Kota Kinabalu, JPN Sandakan, JPN Penampang, JPN Tuaran, JPN Papar dan JPN Cawangan Inanam, selain JPN Cawangan UTC Kota Kinabalu yang telah ditutup lebih awal sebelum ini.
Beliau berkata, penutupan operasi itu juga turut melibatkan Pejabat JPN Beluran dan JPN Kinabatangan berikutan kawalan rentas daerah di kedua-dua daerah tersebut telah diperketatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penutupan operasi pejabat-pejabat JPN seperti yang dinyatakan itu bermula pada 12 Oktober 2020 (Isnin) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Penutupan ini selaras dengan arahan kerajaan dan juga sebagai langkah bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Khairrul berkata, bagi kawasan terlibat, JPN Sabah hanya akan mengendalikan kes-kes kecemasan yang benar-benar perlu seperti kes kehilangan kad pengenalan.
“Para pelanggan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan, JPN Sabah di talian 088-488300 / 301 / 365 untuk membuat temujanji,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan agar para pelanggan menangguhkan urusan di JPN sekiranya tiada keperluan mendesak.
Comments