top of page
  • nabalunews

Ops Tunjang: PERKESO dan SPRM bekerjasama tumpaskan kartel tuntutan palsu

4 September 2024


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui siasatan dalaman oleh Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti (AEFI) tahun ini telah membongkar kewujudan rangkaian kartel penipuan tuntutan palsu faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu.


Susulan penemuan tersebut, PERKESO telah segera melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekerjasama menjalankan Ops Tunjang, yang bermula sejak 2 Julai 2024, bagi menumpaskan rangkaian kartel tuntutan palsu ini.


Setakat ini, Ops Tunjang telah berjaya menahan 32 individu, termasuk tiga pengamal perubatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan ini. Menurut sumber, nilai kerugian akibat kegiatan kartel ini dianggarkan mencecah lebih RM2 juta.


“Ops Tunjang akan diteruskan dengan kerjasama SPRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO tidak akan berkompromi serta bertekad untuk memerangi kegiatan kartel sedemikian secara habis-habisan kerana peruntukan faedah perlindungan sosial itu sepatutnya disalurkan kepada pencarum, selain waris keluarga yang betul-betul layak serta memerlukan,” lapor Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, mengarahkan PERKESO mengambil langkah proaktif untuk merombak semula proses membuat tuntutan demi mengelak perkara seperti ini daripada berulang.

Comments


bottom of page