top of page

Orang ramai digesa henti penyambungan haram - Sabah Electricity

  • nabalunews
  • Jan 4
  • 1 min read

4 Januari 2025


KOTA KINABALU:Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menggesa orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan setinggan supaya tidak melakukan penyambungan elektrik secara tidak sah.


Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata perbuatan itu bukan sahaja membahayakan si pelaku, tetapi juga orang awam yang tinggal atau berada di kawasan persekitaran yang melakukan penyambungan haram itu.


“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat memberi risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Yusmanizam ketika mengulas kejadian renjatan elektrik yang berlaku ke atas seorang lelaki dewasa di Jalan Lorong Kuala Neutron di sini pada Khamis lepas berkata pasukan teknikal Sabah Electricity tiba di lokasi kejadian setelah menerima aduan mengenai kejadian itu pada pukul 11.30 malam.


“Bekalan elektrik di kawasan itu dimatikan untuk memberi laluan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah melakukan kerja-kerja mengalihkan mangsa,” katanya.


Yusmanizam berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat sambungan haram pada peti pembekal ke lokasi kejadian yang menyebabkan renjatan ke atas mangsa.


Beliau berkata kerja-kerja membersihkan sambungan haram itu telah dilaksanakan dan bekalan elektrik ke kawasan berkenaan disambung semula.


Sabah Electricity turut menyeru orang ramai untuk melaporkan perkara berkaitan melalui Careline Sabah Electricity 15444, 088-5150 00 atau melalui aplikasi WhatsApp 019-852 5427.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page