Orang ramai dinasihat waspada hadapi cuaca tidak menentu
- nabalunews
- Sep 18
- 1 min read

17 September 2025
KENINGAU: Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini yang berisiko menyebabkan banjir.
Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Alizam Dalaman berkata, keadaan hujan berpanjangan telah menyebabkan paras air di beberapa sungai utama di daerah itu meningkat secara mendadak, selain arus deras yang boleh membahayakan pengguna jalan raya serta penduduk berhampiran.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melalui laluan harian yang berisiko dinaiki air atau kawasan berhampiran sungai apabila paras air meningkat.
“Langkah berjaga-jaga in penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini termasuk kemalangan jalan raya, kenderaan terperangkap dalam banjir, serta risiko kehilangan nyawa,” kataya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, negara kini sedang melalui Monsun Barat Daya sejak Mei dan akan memasuki fasa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang dijangka bermula November tahun ini hingga Mac 2026.
Menurutnya, Polis Keningau dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau situasi semasa, termasuk membuat rondaan di kawasan berisiko banjir.
“Kami menyeru masyarakat agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga dengan mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan sungai yang berbahaya sepanjang tempoh hujan tidak menentu ini,” ujarnya.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa serta melaporkan segera sebarang kejadian kecemasan.


















Comments