top of page

Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak mula berkuatkuasa

  • nabalunews
  • 5 days ago
  • 1 min read


3 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menetapkan bahawa Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 mula berkuatkuasa pada 1 Mei, kecuali Bahagian IVA.


KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, undang-undang perburuhan itu adalah yang pertama diselaraskan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak sejak penubuhan Malaysia.


"Penyelarasan ini merangkumi tiga akta utama, iaitu Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446], serta Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 [Akta 350].”


“Pindaan ini adalah keutamaan dan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan hak pekerja di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak disama ratakan,” katanya.


Menurutnya, liputan pemakaian ordinan kini diperluas kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaaan berbanding hanya pekerja bergaji RM2,500 dan ke bawah sebelum ini.


Dengan pindaan ini, katanya, pekerja di Sabah dan Sarawak kini akan mendapat manfaat seperti pengurangan waktu kerja, kenaikan cuti bersalin, dan aturan kerja anjal.


"Tempoh cuti bersalin dinaikkan kepada 98 hari daripada 60 hari dan cuti paterniti tujuh hari turut diperkenalkan.


"Manakala, waktu bekerja kini dikurangkan kepada 45 jam seminggu, berbanding 48 jam sebelum ini," katanya.


Selain itu, katanya, terdapat peruntukan baharu untuk aduan mengenai diskriminasi, buruh paksa, gangguan seksual, serta perumahan, penginapan, dan kemudahan pekerja, dengan mengadaptasi Akta 446.


"Pewartaan ini juga melibatkan dua (2) perintah di bawah Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025, iaitu Perintah Penggajian (Pengecualian) (Pembatalan) 2025 dan Perintah Penggajian (Pindaan Jadual Pertama) 2025.


"Selain itu, satu (1) perintah di bawah Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025, iaitu Perintah Penggajian (Pengecualian) (Pembatalan) 2025, yang turut berkuatkuasa pada 1 Mei 2025," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page