top of page

Padi tanah kering fokus baharu perkukuh sekuriti makanan Sabah

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

19 Mei 2026


KOTA KINABALU: Tanaman padi tanah kering kini menjadi antara fokus baharu Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negeri.


Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata pendekatan itu berpotensi menjadi alternatif kepada penanaman padi sawah, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan mencukupi.


“Kementerian kini dalam perancangan memperkenalkan tanaman padi tanah kering yang boleh diusahakan di keliling rumah, termasuk dalam pasu atau polibeg.


“Sekiranya kajian varieti yang sesuai selesai, kita akan lancarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Kaamatan 2026 di Wisma Pertanian Sabah, di sini, semalam.


Jamawi berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa Inisiatif Kebun Dapur yang kini mula menunjukkan hasil positif dalam kalangan masyarakat luar bandar.


“Saya melihat dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini, apabila kita mempromosikan kebun dapur, sudah ada petani dan penduduk kampung yang mencuba menanam padi tanah kering di sekitar rumah mereka,” katanya.


Menurut beliau, Jabatan Pertanian sebelum ini telah menjalankan kajian terhadap beberapa varieti padi yang sesuai ditanam tanpa memerlukan penggunaan air yang banyak.


Jelasnya, hasil kajian berkenaan akan dimanfaatkan bagi memperluaskan pelaksanaan tanaman tersebut di seluruh negeri.


“Usaha ini penting memandangkan Sabah masih bergantung kepada import beras yang mencecah 80 peratus daripada keperluan negeri.


“Apabila berlaku krisis global seperti konflik atau kenaikan kos pengangkutan, bekalan makanan boleh terjejas. Jadi kita perlu bersiap sedia dari sekarang,” katanya.


Selain itu, katanya tanaman padi tanah kering juga sesuai diusahakan di kawasan kategori K3 yang tidak mempunyai sistem pengairan lengkap dan bergantung sepenuhnya kepada sumber air hujan.


Dalam pada itu, Jamawi berkata kementerian turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempergiat usaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.


Menurutnya, selain padi, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan ternakan seperti jagung bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.


“Bagaimanapun, pembangunan tanaman padi tanah kering akan terus menjadi antara keutamaan kementerian berikutan potensinya yang besar serta kemampuannya dilaksanakan secara kecil-kecilan oleh rakyat.


“Ini antara inisiatif yang akan kita terus perkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keterjaminan makanan negeri sentiasa terpelihara,” katanya.


Sementara itu. Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Sambutan Kaamatan MAFFI tahun ini.


Pada majlis itu, pelbagai pertandingan turut diadakan antaranya Sugandoi, makanan tradisi, gerai tercantik serta pertandingan Basaan Togiingo bagi kategori lelaki dan wanita.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page