Pakaian sukan dibenarkan semasa cuaca panas - KPM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pakaian sukan dibenarkan semasa cuaca panas - KPM


3 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kementerian untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.


Ini termasuklah tidak memakai tali leher bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.


Keputusan ini dibuat berikutan fenomena cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara dan boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.


“Pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.


KPM juga mengingatkan pentadbir sekolah bahawa mereka dibenarkan menutup sekolah jika cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.


Ini adalah berdasarkan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan bawah KPM Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 28 April 2023.


Selain itu, semua aktiviti luar yang melibatkan murid, guru dan pensyarah perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.


“Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama adalah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian,” jelas KPM.


KPM menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan menggesa semua pihak untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti minum air kosong yang mencukupi, memakai pakaian yang selesa dan melindungi diri dari sinaran matahari terus.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page