top of page

Pakar Psikiatri dan Pakar Psikologi Bebas Untuk Prosiding Inkues

  • nabalunews
  • Sep 11
  • 2 min read

ree

11 September 2025


KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mendengar permohonan penggunaan pakar psikiatri dan pakar psikologi daripada peguambela remaja tertuduh dan peguam ibu Zara Qairina Mahathir.


Ia bagi menilai keadaan mental Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu terbabit.


Bagi pihak peguambela, Ram Singh berkata, tahap psikologi Zara Qairina perlu diberi perhatian kerana kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi di asrama sekolah dan membabitkan remaja berusia 13 tahun.


“Persoalan utama ialah apakah keadaan mental Zara pada masa itu dan mengapa beliau berada di koridor pada jam terbabit.


“Ini memerlukan kepakaran psikiatri forensik, bukan sekadar penilaian fizikal,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, petang ini.


Ram Singh berkata, keterangan saksi pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, hari ini jelas menunjukkan bidang beliau hanya terhad kepada aspek perubatan kecederaan dan kesan jatuhan, bukan psikologi.


"Mahkamah perlu melihat faktor menyeluruh, termasuk tekanan emosi atau isu lain yang mungkin mendorong arwah berada di lokasi itu.


“Justeru kami mohon mahkamah mendapatkan khidmat psikiatri forensik kerajaan untuk analisis lebih komprehensif,” katanya.


Sementara itu, pasukan peguam ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, turut memohon penggunaan pakar psikologi bebas dalam prosiding inkues berkenaan.


Peguam Shahlan Jufri berkata, pakar berkenaan dijangkakan tiba dari Kuala Lumpur pada minggu hadapan dan akan melakukan kerja-kerja sepatutnya.


“Kalau diikutkan secara ‘common practice’ untuk psikologis, pakar ini ingin membuat profiling, profiling Zara.


“Dia ingin menemuramah, interview Mama Zara, kawan-kawan sekolah rendah, kawan-kawan sekolah menengah, cikgu-cikgu dan ingin melihat buku-buku termasuklah diari-diari yang telah dikemukakan di mahkamah untuk membuat profiling Zara Qairina.


“Untuk menentukan keadaan minda Zara Qairina,” katanya.


Prosiding hari ini melibatkan Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu dan saksi keenam iaitu pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding @ Jaliha.


Manakala, prosiding inkues esok pula difahamkan akan melibatkan saksi ke tujuh iaitu seorang lagi doktor di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page