top of page

Pameran Produk Halal Perlu Diselaras Agar Impak Meluas - Ahmad Zahid

  • nabalunews
  • Sep 23, 2024
  • 2 min read

23 September 2024


BANGI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar pameran dan ekspo produk halal di semua peringkat diselaraskan, agar impaknya lebih meluas serta usaha memangkin industri halal terus diperkasakan.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata Malaysia mempunyai pelbagai pameran produk halal antaranya Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Halal Fiesta Malaysia (Halfest) dan Karnival Usahawan Desa (KUD), namun tujuannya hanya satu iaitu memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa.


“Cara terbaik ialah mengumpulkan semua pempamer dan pengeluar produk halal di satu tempat dan jemput peniaga luar negara, agar padanan perniagaan (B2B) dilakukan dan menggali potensi untuk produk dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata demikian kepada media selepas Majlis Himpunan Usahawan anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang turut dihadiri Presiden DPIM Datuk Mohammad Sahar Mat Din.


Ahmad Zahid berkata pemain industri halal tidak harus fokus kepada pengeluaran hasil akhir tetapi juga melihat kepada ramuan serta bahan yang dikeluarkan secara Pengilang Peralatan Tulen (OEM), oleh konsortium yang diwujudkan dalam DPIM, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan persatuan lain agar pengeluaran besar-besaran dapat dilakukan untuk pasaran antarabangsa.


“Jangan bersaing, membunuh antara satu sama lain dengan produk yang sama, pasaran yang sama. Mesti jalinkan kerjasama agar produk-produk disatukan dengan jenama yang sama, tapi dipasarkan di peringkat antarabangsa kerana permintaan di luar lebih besar daripada permintaan dalaman,” katanya.


Ahmad Zahid berkata beliau sebelum ini mengumumkan bermula tahun hadapan, September akan dijadikan sebagai Bulan Produk Halal tahunan.


“Ini akan dapat menyatukan para usahawan dan pengeluar bahan-bahan dan perkhidmatan seperti farmaseutikal, kosmetik, perubatan traditional, herba dan suplemen dapat disatukan untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa,” katanya.


Ahmad Zahid turut mengajak para usahawan untuk mengambil peluang terhadap industri halal yang semakin meluas, yang ketika ini eksport produk halal sebanyak RM53.72 billion, iaitu 3.8 peratus berbanding jumlah keseluruhan eksport negara.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page