PANDEMIK COVID BERI KESAN KEWANGAN KEPADA PSKS PANDEMIK COVID BERI KESAN KEWANGAN KEPADA PSKS
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PANDEMIK COVID BERI KESAN KEWANGAN KEPADA PSKS


Lawrence (kanan) menyerahkan surat permohonan bantuan kewangan kepada Jahid.

5 Feb 2021


KOTA KINABALU: Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terpaksa membatalkan beberapa program termasuk Majlis Makan Malam Amal yang menjadi sumber kewangan persatuan itu akibat Pandemik Covid-19.


Presiden PSKS, Lawrence Imui berkata tahun lepas hanya sembilan program kesedaran mengenai kanser dapat dilaksanakan.


"Majlis Makan Malam Amal yang menjadi sumber kewangan PSKS sejak 2014 tidak dapat diadakan menyebabkan persatuan kekurangan sumber kewangan bagi membiayai pengurusan dan pentadbiran persatuan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, di pejabat menteri, sini, hari ini.


Kunjungan tersebut bertujuan memberi taklimat kepada Jahid mengenai perkembangan terkini dan aktiviti terbaharu PSKS.


Lawrence berkata, tahun ini sebanyak 39 program telah dirancang termasuk dua kegiatan bagi mengisi tabung persatuan berkenaan, termasuk makan malam amal dan larian amal.


"Malangnya, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) ketat, dua program telah pun dibatalkan, termasuklah Hari Kanser Sedunia di Dewan Masyarakat Tambunan yang sepatutnya dijadualkan pada 6 Februari (esok)," katanya.


Sementara itu, Jahid menghargai kunjungan tersebut dan berpuas hati dengan hasil pertemuan itu, dengan harapan semua aktiviti PSKS akan dapat dijalankan selepas keadaan kembali pulih seperti biasa kelak.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page