Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah Akan Dinaiktaraf Untuk Kesiapsiagaan Pertahanan
- nabalunews
- May 4
- 2 min read

4 May 2025
SEMPORNA: Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah akan dinaiktaraf bagi memperkasakan keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.
Perkara itu kini dalam penelitian Kementerian Pertahanan agar pangkalan berkenaan lebih berupaya pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman.

Katanya, pangkalan sedia ada kini sudah mencecah usia 10 tahun dan jelas memainkan peranan sangat penting dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan timur Sabah.
“Namun, sudah tiba masanya kerajaan melihat kepada penyelesaian yang lebih lestari dan kukuh bagi menyokong operasi pertahanan negara pada masa kini.
“Saya difahamkan pangkalan ini telah beroperasi hampir sedekad dan ia telah memberi impak besar kepada keselamatan Sabah serta membantu menjayakan pembangunan terutama dalam sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, di sini, semalam.
Mohamed Khaled berkata, pangkalan ini jelas menyumbang kepada penurunan ketara insiden-insiden pencerobohan dan jenayah rentas sempadan di Zon Timur Sabah.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kekangan dari segi infrastruktur seperti keupayaan pendaratan helikopter dan kebolehan kapal-kapal besar untuk merapati pangkalan menjadi antara faktor utama yang mendorong kepada rancangan penggantian.
“Sebagai contoh, helikopter yang boleh mendarat di pangkalan ini terhad kepada berat enam tan sahaja dan ini perlu diatasi dalam perolehan baharu nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan sedang menimbangkan pembinaan satu forward base baharu yang mungkin bersifat bergerak, berupaya bertindak lebih pantas dan fleksibel dalam menangani sebarang ancaman keselamatan di perairan Sabah.
“Kita belum memuktamadkan bentuk perolehan, namun yang pasti ia akan melebihi keupayaan pangkalan sedia ada,” katanya.
Mohamed Khaled turut menekankan pentingnya kesiapsiagaan serta kerjasama antara agensi dalam menghadapi ancaman berterusan.
“Ia termasuklah ancaman berbentuk ancaman bukan tradisional seperti kumpulan pengganas dan jenayah rentas sempadan, mahupun penculikan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Kerajaan juga merancang untuk mempertingkat sistem pengawasan termasuk pemasangan radar tambahan di kawasan pantai timur Sabah bagi memperkukuh keupayaan pemantauan secara menyeluruh.
“Ancaman di Timur Sabah adalah berterusan dan kita tak boleh leka. Atas sebab itu, kita sedang merangka tindakan lebih jangka panjang bagi menjamin keselamatan negeri ini,” katanya.
Comments