Pantau “kartel” untuk stabilkan harga barang – ShafiePantau “kartel” untuk stabilkan harga barang – Shafie
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pantau “kartel” untuk stabilkan harga barang – Shafie


20 Sept 2021

By Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kenaikan harga barangan yang mendadak dan tanpa kawalan baru-baru ini perlu disiasat bagi mencegah sebarang manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Shafie Apdal menggesa Kerajaan untuk melakukan siasatan ke atas sebarang bentuk pakatan atau kartel bagi menyelesaikan segera isu kenaikan harga dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab.


"Beberapa minggu kebelakangan ini, media telah melaporkan kenaikan harga ayam dan ikan yang mendadak di pasaran.


“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di beberapa pasar awam juga menunjukkan kenaikan harga sehingga 30 peratus dan secara tidak langsung, harga ayam melepasi RM10 sekilogram.


"Mungkin disebabkan oleh kenaikan harga ayam ini, kerajaan melalui kempen yang ada telah menasihatkan pengguna untuk membeli sumber alternatif lain seperti ikan dan juga makanan laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ahli Parlimen Semporna itu juga berkata, harga ikan juga mengalami peningkatan yang ketara dan disebabkan hal ini juga, jualan ikan dan makanan laut dikatakan mengalami kemerosatan hampir 80 peratus.


Tambahnya, peningkatan harga ini adalah amat membimbangkan kerana ayam dan ikan merupakan sumber makanan utama isi rumah kebanyakan Rakyat Malaysia.


“Apa yang lebih membimbangkan, pada bulan Jun tahun ini, rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak masak yang mencapai RM35 sebotol dengan berat 5 kilogram.


Ujarnya, ini merupakan kenaikan yang mendadak daripada harga biasa RM20-RM25 sebotol pada bulan-bulan sebelumnya.


"Setelah dua bulan kerajaan berunding dan cuba mencapai kesepakatan dengan pihak pengeluar, pada 1 Ogos 2021, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum minyak masak sawit sebanyak RM29.70.


"Ironinya, sepanjang dua bulan tersebut, pengguna dibebankan dengan kenaikan harga tanpa kawalan kerajaan dan memungkinkan manipulasi harga di peringkat pengeluar, pengedar, pemborong atau peruncit," katanya.


Shafie menegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati mengawal ataupun memanipulasi harga-harga barangan keperluan asas ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).


Seksyen ini juga melarang sebarang bentuk pakatan yang bersifat antipersaingan dan pemakaian undang-undang persaingan juga boleh menstabilkan harga pasaran dan telah digunakan oleh kebanyakan negara, terutamanya ketika negara teruk terjejas disebabkan wabak COVID-19.


“Oleh itu, pihak Kerajaan juga perlu membuat lebih banyak tadbir urus dan konsultasi dengan pihak berkepentingan. Sebagai contohnya, pihak peruncit turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara bilamana sewa premis mereka juga meningkat.

“Peniaga-peniaga ini pula terpaksa memindahkan kos tersebut pengguna dengan menaikkan harga.


“Seharusnya perkara ini perlu diperhalusi agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada peniaga yang terjejas. Ini juga turut membantu dalam mengurangkan kos dan harga barangan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page