Paru-paru, payudara, kolorektal antara lima kanser utama kalangan wanita di Malaysia
- nabalunews
- Oct 13
- 2 min read

13 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser korpus uteri dan kanser ovari merupakan lima kanser utama dalam kalangan wanita di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Manakala kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser prostat, kanser hati dan kanser limfoma merupakan lima kanser utama dalam kalangan lelaki.
Beliau berkata, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, sebanyak 40,570 kes kanser baharu dilaporkan pada 2022 dan mengalami sedikit penurunan pada 2023 dengan 38,814 kes.
“10 kanser utama yang dilaporkan di negara ini bagi tempoh 2022-2023 adalah kanser payudara (13,088), kanser kolorektal (11,629), kanser paru-paru (8,091), kanser limfoma (3,905), kanser hati (3,590), kanser prostat (3,475), kanser leukemia (2,849), kanser korpus uteri (2,742), kanser tiroid (2,220) dan kanser ovari (2,146),” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai langkah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan pertambahan pesakit kanser dan berapa jumlahnya di negara ini.
Menurut Dzulkefly, kebanyakan pesakit kanser di negara ini hanya menjalani saringan pada peringkat lewat sehingga penyakit itu dikesan ketika sudah berada di tahap tiga atau empat.
"Ia kemudian akan menyebabkan mereka sukar untuk menguruskan sakit kanser yang dialami. Andainya saringan ini berjalan lancar, insya-Allah kita akan dapat mengesan lebih awal," ujarnya.
Beliau berkata, langkah pencegahan dan saringan awal sedang dipertingkat KKM melalui pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Kanser, antaranya perluasan program imunisasi, saringan berkala serta kempen kesedaran awam.
Ia termasuk pencegahan primer melalui aktiviti promosi amalan gaya hidup sihat merangkumi pemakanan sihat, aktif secara fizikal, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol bagi pencegahan penyakit kanser.
Selain itu, katanya, Program Imunisasi HPV yang telah bermula pada tahun 2010 sebagai langkah pencegahan kanser servik serta pencegahan sekunder meliputi aktiviti saringan bagi tujuan pengesanan awal kanser.


















Comments