Pasukan Ragbi PDRM Sabah Sasar Podium Kali Kedua
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mensasarkan untuk mengekalkan pencapaian podium kali kedua untuk Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara tahun ini.
Komitmen itu sekali lagi disasarkan hasil penerimaan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri iaitu Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn. Bhd, hari ini.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn. Bhd, Datuk Victor P. Paut berkata, sumbangan RM10,000 kepada Pasukan Ragbi PDRM Sabah bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan untuk menyokong pembangunan sukan di negeri ini.
Katanya, ia dilihat mampu menyuntik semangat atlet Sabah yang membawa cabaran dan seterusnya mengharumkan nama negeri Sabah di peringkat kebangsaan.
“Sokongan kepada pasukan ragbi PDRM Sabah diberikan atas dasar kepercayaan terhadap kemampuan mereka untuk mengharumkan nama Sabah.
“Setiap pasukan yang berusaha mewakili negeri wajar menerima galakan daripada pelbagai pihak bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan dan pertandingan.
“Apabila kita melihat ada pasukan yang bersungguh-sungguh berlatih dan membawa nama Sabah ke pentas kebangsaan, kita perlu tampil memberi sokongan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan di Menara Kinabalu, hari ini.
Victor berkata, sumbangan berkenaan mungkin tidak besar jika dibandingkan dengan keseluruhan kos penyertaan, tetapi beliau berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban pasukan serta menaikkan semangat pemain.
“Apa yang lebih penting ialah mesej bahawa mereka tidak bergerak bersendirian kerana masih ada pihak yang menghargai usaha dan pengorbanan mereka.
“Kita mahu melihat lebih banyak kejayaan dicapai oleh atlet dan pasukan dari Sabah. Apabila mereka berjaya, seluruh rakyat Sabah turut berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Victor berkata, pembangunan sukan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor korporat, pemimpin masyarakat dan individu yang berkemampuan bagi memastikan atlet terus mendapat sokongan sewajarnya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Ragbi PDRM Sabah, Superintenden Rizal Izman Mansor menyifatkan sumbangan yang diterima sebagai suntikan motivasi menjelang kejohanan yang bakal berlangsung di Sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan dari 10 hingga 12 Jun depan.
Katanya, bantuan berkenaan memberi semangat tambahan kepada pemain yang sedang membuat persiapan akhir sebelum berlepas ke Semenanjung.
“Bagi kami, ini bukan soal jumlah wang semata-mata, tetapi soal semangat dan keikhlasan untuk melihat pasukan berjaya.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Victor atas sokongan yang diberikan. Sumbangan ini memberi suntikan moral yang besar kepada seluruh pasukan,” katanya.
Menurut Rizal, pasukan PDRM Sabah akan menghantar dua pasukan pada kejohanan berkenaan iaitu kategori terbuka dan veteran.
Beliau berkata, pencapaian terbaik pasukan setakat ini ialah menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam kategori Cup pada edisi tahun lalu di Melaka.
“Kami menyasarkan keputusan yang lebih baik berbanding tahun lalu dan berharap dapat menamatkan saingan dalam kelompok terbaik.
“Persiapan berjalan lancar dan pemain menunjukkan komitmen yang sangat baik sepanjang latihan,” katanya.















Comments