Pesawah Piasau Sambut Baik Pemasangan Pam Air, Tuntutan Ganti Rugi Tetap Diteruskan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh Romie Stanley DGuns
27 Mei 2026
KOTA BELUD: Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau menyambut baik komitmen kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam usaha memulihkan sistem pengairan sawah di kawasan itu, namun menegaskan beberapa isu kritikal masih belum diselesaikan sepenuhnya sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesawah.
Pengerusi persatuan, Fidelis Boyogo, berkata pihaknya menghargai usaha yang diambil oleh Datuk Jamawi Jaafar bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta agensi berkaitan yang telah memasang tiga pam air sebagai langkah interim bagi membantu pesawah memulakan semula penanaman pada musim utama akan datang.
Menurutnya, pemasangan pam air itu merupakan perkembangan positif, namun ia dilihat sebagai penyelesaian sementara dan bukannya penyelesaian menyeluruh terhadap isu yang timbul susulan pelaksanaan projek pengairan di kawasan berkenaan.
“Pesawah masih bimbang terhadap keadaan sistem tali air yang mengalami kerosakan di beberapa lokasi serta keupayaan sebenar pam yang dipasang untuk menampung keperluan bekalan air bagi keseluruhan kawasan sawah.
“Persoalan utama ialah sama ada bekalan air dapat disalurkan secara konsisten ke semua petak sawah sekiranya infrastruktur pengairan masih belum dipulihkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebimbangan itu turut disokong oleh kenyataan pihak kerajaan yang mengakui masih terdapat beberapa komponen tambahan yang belum disiapkan, termasuk pembinaan struktur pengambilan air (intake) tambahan kira-kira lima kilometer dari lokasi utama bagi memastikan bekalan air mencukupi ke kawasan sawah di bahagian paling hujung.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada sistem sedia ada mampu menjamin kestabilan pengairan untuk keseluruhan kawasan tanaman seperti yang diharapkan oleh pesawah.
Dalam pada itu, Fidelis menegaskan tuntutan ganti rugi oleh pesawah akan diteruskan selagi sistem pengairan belum berfungsi sepenuhnya, kerosakan tali air masih berlaku dan kerugian yang ditanggung akibat kehilangan beberapa musim tanaman belum diselesaikan.
Menurut beliau, ramai pesawah telah kehilangan sumber pendapatan apabila tidak dapat mengusahakan sawah seperti biasa berikutan gangguan yang berlaku sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Sehubungan itu, persatuan menggesa agar satu audit teknikal bebas dilaksanakan terhadap keseluruhan sistem pengairan, termasuk penilaian kapasiti pam yang digunakan, selain pelan pemulihan menyeluruh bagi sistem tali air diumumkan secara telus kepada semua pesawah.
Persatuan turut meminta agar pemantauan berkala melibatkan pesawah diteruskan sehingga musim penanaman dapat dipulihkan sepenuhnya, selain siasatan menyeluruh terhadap pelaksanaan projek diteruskan, termasuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya diperlukan.
Pada masa sama, persatuan berharap mekanisme pampasan yang adil kepada pesawah dapat disegerakan bagi membantu mereka yang terjejas akibat kehilangan hasil dan pendapatan sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Fidelis menegaskan bahawa pesawah tidak menolak pembangunan, sebaliknya mahukan projek yang dilaksanakan secara telus, berfungsi dengan berkesan dan mampu menjamin kelangsungan industri padi di Kota Belud yang merupakan antara kawasan jelapang padi utama di Sabah.















Comments