PBS Tegas Kekal Dalam GRS, Tolak Spekulasi Keluar Gabungan
- nabalunews
- Oct 12
- 1 min read

12 Oktober 2025
KIULU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai, menolak khabar angin yang mendakwa parti itu merancang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Joniston berkata, beliau menyifatkannya dakwaan itu sebagai usaha pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan dan menggugat perpaduan gabungan menjelang pilihan raya akan datang.
“Spekulasi berulang seperti ini tidak membawa sebarang manfaat selain cuba menggoyahkan sokongan akar umbi serta menjejaskan kestabilan politik yang dipelihara GRS melalui kerjasama kukuh antara parti komponennya.

“Isu PBS keluar daripada GRS langsung tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi kami baru-baru ini,” katanya ketika berucap pada program Meet-the-People di Kampung Lokub, Kiulu, hari ini.
Menurutnya, Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, juga telah menegaskan semula komitmen parti untuk terus memperkukuh GRS sebagai gabungan tempatan yang mantap dan mengekalkan hubungan baik serta saling menghormati dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendirian PBS sentiasa berpaksikan kepada prinsip bahawa perpaduan antara parti-parti tempatan amat penting bagi memastikan kestabilan politik jangka panjang serta melindungi kepentingan rakyat Sabah.
“Walaupun mengakui PBS sentiasa mendengar pandangan dan sentimen di peringkat akar umbi, saya menasihatkan agar setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan rasional, bukan semata-mata atas faktor populariti.
“Apa yang popular tidak semestinya betul. Kerap menukar haluan politik bukan sahaja tidak sihat, malah boleh menjejaskan kesinambungan dan kemajuan negeri.” katanya.
Joniston berkata, perpecahan hanya akan memberi ruang kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan, justeru PBS dan GRS perlu kekal fokus serta bersatu padu menjelang pilihan raya negeri.
“Kita faham dinamika politik Sabah, dan keputusan yang dibuat mesti berasaskan realiti semasa,” katanya.


















Comments